Make your own free website on Tripod.com
BANTUAN KEWANGAN :
Bank Islam Cawangan Dungun
No : 13044-01-0009696
Nama Pemegangan :
Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun
(Untuk program kebajikan & pilihan raya)

Allah SWT Larang Sikap Boros, Berfoya-foya

BERUSAHA mencari rezeki halal dan membelanjakannya bagi memenuhi keperluan hidup yang selesa dan sempurna adalah antara ibadat yang besar ertinya dalam kehidupan seseorang Muslim.

Kehidupan yang baik dan selesa kadang-kadang dikurniakan Allah sebagai balasan awal terhadap keimanan dan ketaatan hamba-Nya.

Demikian juga penderitaan dan kesengsaraan hidup, kadang-kadang adalah balasan yang disegerakan di dunia bagi membolehkannya menerima nikmat sepenuhnya di akhirat tetapi ada juga penderitaan itu akibat kelemahan iman terhadap kekuasaan Allah dan berleluasanya kemungkaran dalam kehidupannya.

Hakikat ini dijelaskan Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud:

"Sesiapa yang mengikuti petunjuk daripada-Ku, nescaya dia tidak akan sesat dan tidak pula akan menderita azab sengsara. Dan sesiapa yang berpaling daripada ingatan dan petunjuk-Ku, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit."
(Surah Al-Taha: ayat 123-124)

Di samping unsur kerohanian, Islam juga mengakui bahawa kebendaan turut berfungsi memberi keselesaan kepada manusia. Justeru, Islam menghalalkan kita mengambil makan minum yang lazat, memilih tempat dan kediaman yang memenuhi kehendak dan cita rasa, memiliki kenderaan yang cantik dan pasangan hidup yang damai dan tidak mendatangkan masalah.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda, maksudnya:

"Empat perkara bakal mendatangkan kebahagiaan: isteri yang salihah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa. Empat perkara yang mengundang kekacauan: isteri yang buruk akhlak, jiran yang jahat, kenderaan yang buruk dan rumah yang sempit."

Bagi mengekalkan keselesaan dan kebahagiaan di dunia, Islam juga menolak beberapa tabiat buruk yang boleh mengancam kesejahteraan hidup dan menukarnya dengan sekelip mata daripada senang kepada susah, daripada hidup mewah kepada menderita dan papa kedana.

Antara tabiat buruk yang mengancam kesejahteraan umat ialah berfoya-foya dengan kehidupan mewah, boros harta dan membazir ketika berbelanja. Tabiat ini sering disebut dalam al-Quran sebagai punca kehancuran beberapa umat yang terdahulu.

Al-Quran mengingatkan manusia dua perkara penting melalui dakwah dan Rasul, iaitu bahaya kehidupan mewah dan tabiat sukakan pembaziran. Firman Allah SWT bermaksud:

"Dan orang yang tidak melarang perbuatan mungkar di bumi ini menitikberatkan segala kemewahan yang diberikan kepada mereka dan jadilah mereka orang yang berdosa."
(Surah Al-Hud: ayat 116)

Dr Yusuf al-Qardawi mengulas mengenai kemewahan, katanya:

"Kemewahan hidup berbeza antara satu zaman dengan zaman yang lain, mungkin mewah pada suatu ketika dahulu, tidak dianggap mewah pada hari ini, kerana perbezaan masa, suasana dan pendapatan menjadikan ukuran kemewahan turut berbeza."

Imam Fakhr al-Razi mengertikan kemewahan yang menjadi punca keruntuhan masyarakat ialah tabiat hidup yang sombong dengan kenikmatan yang dirasai.
(Tafsir Al-Kabir, 18/75)

Kehidupan yang selesa adalah suatu bentuk kehidupan yang dialu-alukan oleh Islam tetapi kehidupan mewah dan sombong adalah suatu cara hidup yang buruk dan dikeji.

Sikap sombong dengan nikmat yang diperoleh, sering membawa manusia melupai Allah SWT dan jauh daripada jalan yang benar. Atas dasar mewah dan sombong inilah, Islam mengharamkan penggunaan peralatan emas dan perak, hamparan sutera dan melarang lelaki memakai pakaian yang diperbuat daripada emas dan sutera.

Selain hidup berfoya-foya dengan kemewahan, al-Quran juga menentang amalan boros dan pembaziran harta ketika berbelanja sehingga melampaui batas kesederhanaan sekali pun barang yang dibelanjakan diperoleh daripada sumber yang halal.

Banyak ayat menyentuh mengenai keburukan tabiat ini, antaranya firman Allah SWT bermaksud:

"Sesungguhnya Firaun adalah orang yang sombong takbur lagi terbilang dalam golongan orang yang boros berbelanja."
(Surah Al-Dukhan: ayat 31)

Membazir dan boros berbelanja diertikan dengan mengguna harta tanpa muslihat dan kepentingan. Amalan ini juga bertentangan dengan prinsip kesederhanaan yang menjadi sifat utama Ibad al-Rahman (hamba-hamba Allah yang maha penyayang) dan dikehendaki Islam sebagaimana firman-Nya bermaksud:

"Hamba-hamba Allah ialah mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tidak boros dan tidak kedekut, sebaliknya perbelanjaan mereka adalah sederhana."
(Surah Al-Furqan: ayat 67)

Al-Quran juga sering menggambarkan keburukan tabiat ini dengan menyatakan beberapa persamaan antara mereka dan syaitan, sebagaimana dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang boros adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."
(Surah Al-Israk: ayat 27)

Imam Fakhr al-Razi mengulas erti pembaziran yang diharamkan Islam, iaitu menghabiskan harta pada jalan yang tidak membawa faedah. Ini bermakna jika harta dibelanjakan pada jalan kebaikan dan kepentingan umum, tidak boleh disifatkan sebagai membazir atau boros.
(Tafsir Al-Kabir: 20/195)

Pembazir harta dikira sebagai saudara syaitan kerana ada beberapa persamaan, antaranya ialah sama-sama kufurkan nikmat Allah yang dikurniakan kepadanya dan tidak menggunakan nikmat yang ada untuk faedah umum yang mendatangkan kebajikan.

Pembaziran harta disebut juga dalam hadis Rasulullah dengan Idat al-Mal atau memusnahkan harta benda. Sikap ini termasuk amalan yang dibenci Allah. Dr Yusuf al-Qardawi dalam bukunya "Dawr al-Qiyam Wa al-Akhlak Fi al-Iktisad al-Islami" memberi contoh pembaziran yang berlaku dalam masyarakat sama ada secara disedari atau tidak, seperti mengabaikan ternakan dan tanaman, tidak menjaga makanan sehingga musnah dan tidak boleh dimakan, membiarkan pakaian kotor sehingga cepat luntur, tidak menyelenggara rumah kediaman, kereta dan barang kepunyaan sendiri sehingga cepat rosak.

Membiarkan lampu menyala tanpa sebarang muslihat, membiarkan paip air bocor menyebabkan kerugian terpaksa ditanggung, membuang makanan yang masih boleh dimakan pada hal ada orang miskin yang kelaparan, memusnahkan pakaian yang masih baik dan boleh dipakai semata-mata kerana dianggap ketinggalan zaman pada hal ada orang memerlukannya untuk menutup aurat, menaiki kenderaan bersendirian pada hal masih ada beberapa tempat duduk yang kosong dan ada orang yang memerlukannya untuk menuju ke destinasi yang sama dan makan bersendirian padahal dia boleh dikongsi beberapa orang.

Mensia-siakan harta adalah suatu sikap yang bertentangan dengan budaya Islam, termasuklah membiarkan bumi kosong tanpa ditanam sebarang pokok atau tanpa diambil langkah menghidupkan buminya, perusahaan yang tidak ditingkatkan produktivitinya pada hal ia masih boleh ditingkatkan, haiwan disembelih tetapi banyak bahan yang berfaedah terbuang seperti kulit, bulu dan seumpamanya.

Justeru, pembaziran bertentangan dengan budaya Islam. Rasulullah pernah menegur seorang lelaki yang sedang mengheret bangkai kambing untuk dibuang, sabda baginda:

"Mengapa kamu tidak buang kulitnya terlebih dahulu?"

Jawab mereka:

"Kulit kambing ini bangkai yang tidak berguna lagi."

Sabda baginda:

"Bangkai itu hanya haram dimakan, tetapi kulitnya masih boleh dimanfaatkan."

Justeru, harta benda tidak boleh disia-siakan. Imam al-Bukhari menjudulkan hadis di atas dengan suatu judul yang menarik, iaitu: "Perlukah tempayan arak dipecahkan?"

Maksud beliau ialah jika tempayan arak boleh dibersihkan, tidak ada sebab mengapa ia harus dimusnahkan.

Pemikiran Islam jelas sekali dalam hal ini dan kita percaya hasrat kerajaan supaya mengambil langkah berjimat cermat bagi mengatasi masalah kemelesetan ekonomi akibat kejatuhan nilai ringgit akan tercapai sepenuhnya dalam tempoh terdekat jika ajaran Islam ini dihayati dengan sebaik-baiknya.

(Dipetik dari Berita Harian Online Oktober 18, 1997)







______________________
Terbitan : 25 Mac 2002

Ke atas Ke atas Home Home

Diterbitkan oleh :
Lajnah Penerangan dan Dakwah, DPP Kawasan Dungun, Terengganu
http://clik.to/tranung atau http://www.tranungkite.cjb.net
Email : tranung2000@yahoo.com