Dalam bahang terik mentari, di tengah-tengah padang
pasir yang kering kontang, Nabi Ibrahim a.s. terus
menunggang unta bersama Siti Hajar. Walaupun perjalanan
agak sukar, namun hal itu tidak memberi kesan kepada
mereka. Yang lebih diharapkannya ialah ketabahan hati
untuk meninggalkan Siti Hajar dan bayinya di bumi
gersang itu.
Sepanjang perjalanan, dikuatkan hatinya untuk terus
bertawakal. Dia yakin, Allah tidak akan menganiaya
hamba-hamba-Nya. Pasti ada hikmah di sebalik perintah
itu.Setelah lebih kurang 6 bulan perjalanan, tibalah
mereka di Makkah. Nabi Ibrahim memilih salah sebuah
lembah di tengah-tengah padang pasir. Nabi Ibrahim a.s.
turun dari untanya dan mengikat tali unta di sebatang
pokok tamar.
Bahang sinaran matahari bukan kepalang. Tekaknya yang
dari tadi kehausan, sedikitpun tidak diendahkannya.
Yang difikirkannya, bagaimanakah cara memberitahu
isterinya tentang perintah Allah SWT itu. Sepanjang
perjalanan tadi lidahnya seolah-olah kelu untuk
berkata-kata.
Setelah Siti Hajar diturunkan, tanpa berlengah lagi
Nabi Ibrahim a.s. bersiap sedia untuk pergi. Apabila
Siti Hajar melihat perlakuan suaminya, yang
bergegas-gegas mahu pergi, ditariknya jubah suaminya
sambil merayu-rayu : "Wahai suamiku, apakah aku akan
ditinggalkan bersama anakmu di sini?"
Tanpa memandang wajah isterinya yang dicintainya, Nabi
Ibrahim a.s. hanya mampu menganggukkan kepala. ""Oh...
kiranya kerana dosaku menyebabkan engkau bertindak
begini, ampunkanlah aku. Aku tak sanggup ditinggalkan
di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang ini."
"Tidak wahai isteriku, bukan kerana dosamu...". "Kalau
bukan kerana dosaku, bagaimana dengan anak ini... Anak
ini tidak tahu apa-apa. Tergamakkah engkau
meninggalkannya?"
Hati Nabi Ibrahim a.s bagai disayat-sayat. Pilu dan
pedih hatinya, hanya Allah SWT yang tahu."Tidak, bukan
itu maksudku. Tapi apa dayaku... ketahuilah, ini semua
adalah perintah Allah SWT."
Bila disebut ia perintah Allah SWT, Siti Hajar terdiam.
Kelu lidahnya untuk terus merayu. Terbayang olehnya
penderitaan yang bakal dihadapi sendirian nanti. Dia
yakin kalau tidak kerana perintah Allah SWT, masakan
sanggup suaminya meninggalkan dia serta anaknya di
situ. Dia sedaya upaya menguatkan pergantungan dan
pertolongan kepada Allah SWT. Namun hatinya masih
tertanya-tanya, apakah hikmah di sebalik perintah Allah
SWT itu?
Sewaktu gelodak hatinya semakin memuncak, dengan rahmat
Allah SWT, disingkapkan penglihatan Siti Hajar ke suatu
masa akan datang. Digambarkan tempat itu nantinya akan
didatangi oleh manusia dari serata pelusuk dunia, yang
berduyun-duyun datang untuk membesarkan Allah SWT.
Melihat peristiwa itu, terpujuklah hatinya. Cinta
dengan ALlah, dengan menegakkan agama-Nya, perlukan
pengorbanan...
Lalu dengan hati yang berat tetapi penuh keyakinan,
Siti Hajar berkata kepada suaminya : "Jika benar
ia adalah perintah Allah SWT, tinggalkanlah kami di
sini. Aku redha ditinggalkan" suara Siti Hajar mantap
sambil mengesat air matanya yang berlinangan.
Ditabahkan hatinya dengan berkata : "Tentang
keselamatan kami, serahkanlah urusan itu kepada Allah
SWT. Pasti Dia akan membela kami. Masakan Dia
menganiaya kami yang lemah ini."
Siti Hajar menggenggam tangan suaminya. Kemudian
dikucupnya, minta redha di atas segala perbuatannya
selama mereka bersama. "Cuma...," katanya lagi,
"doakanlah agar datang pembelaan Allah SWT kepada
kami."
Nabi Ibrahim a.s sangat terharu dan bersyukur.
Isterinya Siti Hajar memang wanita terpilih. Dia segera
mengangkat tangannya untuk berdoa :
"Ya Tuhan kami, aku tinggalkan anak dan isteriku di
padang pasir yang tandus tanpa pohon berkayu dan
buah-buahan. Ya Tuhan kami, teguhkanlah hati mereka
dengan mendirikan sembahyang, jadikanlah hati manusia
tertarik kepada mereka, kurniakanlah rezeki pada mereka
dari buah-buahan mudah-mudahan mereka bersyukur
kepada-Mu.
Menitis airmatanya mendoakan keselamatan anak dan
isteri yang dicintai. Hati suami mana yang sanggup
meninggalkan anak dan isteri di padang pasir tandus
yang sejauh enam bulan perjalanan dari tempat
tinggalnya. Namun atas keyakinan yang padu pada janji
Allah SWT, ditunaikan juga perintah Allah SWT walaupun
risiko yang bakal dihadapi adalah besar. Selesai
berdoa, tanpa menoleh ke arah isteri dan anaknya, Nabi
Ibrahim a.s terus meninggalkan tempat itu dengan
menyerahkan mereka terus kepada Allah SWT. Tinggallah
Siti Hajar bersama anaknya yang masih merah di dalam
pelukannya. Diiringi pemergian suaminya dengan linangan
air mata dan syukur. Ditabahkan
hati untuk menerima segala kemungkinan yang akan
berlaku.
Tidak lama selepas pemergian Nabi Ibrahim a.s, bekalan
makanan dan minuman pun habis. Air susunya juga telah
kering sama sekali. Anaknya Ismail a.s menangis
kehausan. Siti Hajar hampir buntu. Di mana hendak
diusahakannya air di tengah padang pasir yang kering
kontang itu? Sedang dia mencari-cari sumber air,
dilihatnya dari jauh seperti ada air bertakung. Dia
berlari ke arah sumber air itu. Tetapi apa yang
dilihatnya hanyalah fatamorgana. Namun SIti Hajar tidak
berputus asa. Dari tempat lain dia ternampak
seolah-olah di tempat di mana anaknya diletakkan
memancar sumber mata air. Diapun segera berlari ke arah
anaknya. Tetapi sungguh malang, yang dilihatnya adalah
fatamorgana. Tanpa disedari dia telah berulang-alik
sebanyak tujuh kali antara dua bukit, Safa dan Marwa
untuk mencari sumber air.
Walaupun tubuhnya telah keletihan berlari ke sana ke
mari mencari sumber air, namun tiada tanda-tanda dia
akan mendapat air. Sedangkan anak yang telah kehausan
itu terus menangis sambil menghentak-hentakkan kakinya
ke bumi. Tiba-tiba dengan rahmat Allah SWT, sedang Siti
Hajar mencari-cari air, terpancutlah air dari dalam
bumi di hujung kaki anaknya Ismail a.s. Waktu itu
gembiranya hati Siti Hajar bukan kepalang. Dia pun
mengambil air itu dan terkeluar dari mulutnya, "Zami,
zami, zami.." yang bermaksud, berkumpullah, kumpullah.
Seolah-olah dia berkata kepada air itu, "Berkumpullah
untuk anakku."
Selepas peristiwa itu, kabilah-kabilah yang berlalu
akan berhenti untuk mengambil air. Ada pula yang terus
bermastautin di lembah Bakkah (Mekah) kerana dekat
dengan sumber air itu. Begitulah kehendak Allah SWT.
Sengaja didatangkan sebab musabab untuk menjadikan
Islam gemilang dan Mekah menjadi tumpuan manusia untuk
berdatangan.
Ya, Siti Hajar, seorang wanita solehah yang merupakan
isteri Nabi yang paling dicintai ALlah SWT, adalah
perintis kepada semua peristiwa itu, hingga Makkah
sekarang menjadi tempat yang paling diberkati dan aman.
dipetik dari laman web Surau
______________________
Terbitan : 22 April 2002
Ke atas
Home