SUMBANGAN KEWANGAN JIHAD FISABILILLAH
Bank Islam Cawangan Dungun No : 13044-01-0009696 Nama Pemegangan : Dewan Pemuda Pas Kawasan Dungun Rabiah Al Adawiyah: Perindu Kecintaan Allah
Rabiah binti Ismail al-Adawiyah
tergolong wanita sufi yang terkenal dalam sejarah Islam. Dia dilahirkan sekitar
awal kurun kedua Hijrah berhampiran kota Basrah di Iraq. Dia lahir dalam sebuah
keluarga yang miskin dari segi kebendaan namun kaya dengan peribadatan kepada
Allah. Ayahnya pula hanya bekerja mengangkut penumpang menyeberangi Sungai
Dijlah dengan menggunakan sampan. Pada akhir kurun pertama Hijrah,
keadaan hidup masyarakat Islam dalam pemerintahan Bani Umaiyah yang sebelumnya
terkenal dengan ketaqwaan telah mulai berubah. Pergaulan semakin bebas dan orang
ramai berlumba-lumba mencari kekayaan. Justeru itu kejahatan dan maksiat
tersebar luas. Pekerjaan menyanyi, menari dan berhibur semakin diagung-agungkan.
Maka ketajaman iman mulai tumpul dan zaman hidup wara serta zuhud hampir lenyap
sama sekali. Namun begitu, Allah telah memelihara
sebilangan kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam fitnah tersebut. Pada
masa itulah muncul satu gerakan baru yang dinamakan Tasawuf Islami yang dipimpin
oleh Hasan al-Bashri. Pengikutnya terdiri daripada lelaki dan wanita. Mereka
menghabiskan masa dan tenaga untuk mendidik jiwa dan rohani mengatasi segala
tuntutan hawa nafu demi mendekatkan diri kepada Allah sebagai hamba yang
benar-benar taat. Bapa Rabiah merupakan hamba yang
sangat bertaqwa, tersingkir daripada kemewahan dunia dan tidak pernah letih
bersyukur kepada Allah. Dia mendidik anak perempuannya menjadi muslimah yang
berjiwa bersih. Pendidikan yang diberikannya bersumberkan al-Quran semata-mata.
Natijahnya Rabiah sendiri begitu gemar membaca dan menghayati isi al-Quran
sehigga berjaya menghafal kandungan al-Quran. Sejak kecil lagi Rabiah
sememangnya berjiwa halus, mempunyai keyakinan yang tinggi serta keimanan yang
mendalam. Menjelang kedewasaannya, kehidupannya
menjadi serba sempit. Keadaan itu semakin buruk setelah beliau ditinggalkan ayah
dan ibunya. Rabiah juga tidak terkecuali daripada ujian yang bertujuan
membuktikan keteguhan iman. Ada riwayat yang mengatakan beliau telah terjebak
dalam kancah maksiat. Namun dengan limpah hidayah Allah, dengan asas keimanan
yang belum padam di hatinya, dia dipermudahkan oleh Allah untuk kembali
bertaubat. Babak-babak taubat inilah yang mungkin dapat menyedar serta mendorong
hati kita merasai cara yang sepatutnya seorang hamba brgantung harap kepada
belas ihsan Tuhannya. Marilah kita teliti ucapan Rabiah
sewaktu kesunyian di ketenangan malam ketika bermunajat kepada Allah:
Ya Allah, ya Tuhanku. Aku berlindung
diri kepada Engkau daripada segala yang ada yang boleh memesongkan diri
daripada-Mu, daripada segala pendinding yang boleh mendinding antara aku dengan
Engkau!
Tuhanku! bintang-bintang telah
menjelma indah, mata telah tidur nyenyak, semua pemilik telah menutup pintunya
dan inilah dudukku di hadapan-Mu. Tuhanku! Tiada kudengar suara
binatang yang mengaum, tiada desiran pohon yang bergeser, tiada desiran air yang
mengalir, tiada siulan burung yang menyanyi, tiada nikmatnya teduhan yang
melindungi, tiada tiupan angin yang nyaman, tiada dentuman guruh yang menakutkan
melainkan aku dapati semua itu menjadi bukti keEsaan-Mu dan menunjukkan tiada
sesuatu yang menyamai-Mu. Sekelian manusia telah tidur dan
semua orang telah lalai dengan asyik maksyuknya. Yang tinggal hanya Rabiah yang
banyak kesalahan di hadapan-Mu. Maka moga-moga Engkau berikan suatu pandangan
kepadanya yang akan menahannya daripada tidur supaya dia dapat berkhidmat
kepada-Mu.
Rabiah juga pernah meraung memohon
belas ihsan Allah SWT: Tuhanku! Engkau akan mendekatkan
orang yang dekat di dalam kesunyian kepada keagungan-Mu. Semua ikan di laut
bertasbih di dalam lautan yang mendalam dan kerana kebesaran kesucian-Mu, ombak
di laut bertepukan. Engkaulah Tuhan yang sujud kepada-Nya malam yang gelap,
siang yang terang, falak yang bulat, bulan yang menerangi, bintang yang
berkerdipan dan setiap sesuatu di sisi-Mu dengan takdir sebab Engkaulah Tuhan
Yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa. Setiap malam begitulah keadaan
Rabiah. Apabila fajar menyinsing, Rabiah terus juga bermunajat dengan ungkapan
seperti: Wahai Tuhanku! Malam yang akan pergi
dan siang pula akan mengganti. Wahai malangnya diri! Apakah Engkau akan menerima
malamku ini supaya aku berasa bahagia ataupun Engkau akan menolaknya maka aku
diberikan takziah? Demi kemuliaan-Mu, jadikanlah caraku ini kekal selama Engkau
menghidupkan aku dan bantulah aku di atasnya. Demi kemuliaan-Mu, jika Engkau
menghalauku daripada pintu-Mu itu, nescaya aku akan tetap tidak bergerak juga
dari situ disebabkan hatiku sangat cinta kepada-Mu. Seperkara menarik tentang diri Rabiah
ialah dia menolak lamaran untuk berkahwin dengan alasan: Perkahwinan itu memang perlu bagi
sesiapa yang mempunyai pilihan. Adapun aku tiada mempunyai pilihan untuk diriku.
Aku adalah milik Tuhanku dan di bawah perintah-Nya. Aku tidak mempunyai apa-apa
pun.
Rabiah seolah-olah tidak mengenali
yang lain daripada Allah. Oleh itu dia terus-menerus mencintai Allah
semata-mata. Dia tidak mempunyai tujuan lain kecuali untuk mencapai keredaan
Allah. Rabiah telah mempertalikan akalnya, pemikirannya dan perasaannya hanya
kepada akhirat semata-mata. Dia sentiasa meletakkan kain kapannya di hadapannya
dan sentiasa membelek-beleknya setiap hari. Selama 30 tahun dia terus-menerus
mengulangi kata-kata ini dalam sembahyangnya: Ya Tuhanku! Tenggelamkanlah aku di
dalam kecintaan-Mu supaya tiada suatupun yang dapat memalingkan aku
daripada-Mu.
Antara syairnya yang masyhur
berbunyi: Kekasihku tiada menyamai kekasih lain
biar bagaimanapun,
Rabiah telah membentuk satu cara yang
luar biasa di dalam mencintai Allah. Dia menjadikan kecintaan pada Ilahi itu
sebagai satu cara untuk membersihkan hati dan jiwa. Dia memulakan fahaman
sufinya dengan menanamkan rasa takut kepada kemurkaan Allah seperti yang pernah
diluahkannya: Wahai Tuhanku! Apakah Engkau akan
membakar dengan api hati yang mencintai-Mu dan lisan yang menyebut-Mu dan hamba
yang takut kepada-Mu? Kecintaan Rabiah kepada Allah berjaya
melewati pengharapan untuk beroleh syurga Allah semata-mata.
Jika aku menyembah-Mu kerana takut
daripada api neraka-Mu maka bakarlah aku di dalamnya! Dan jika aku menyembah-Mu
kerana tamak kepada syurga-Mu maka haramkanlah aku daripadanya! Tetapi jika aku
menyembah-Mu kerana kecintaanku kepada-Mu maka berikanlah aku balasan yang
besar, berilah aku melihat wajah-Mu yang Maha Besar dan Maha Mulia
itu.
Begitulah keadaan kehidupan Rabiah
yang ditakdirkan Allah untuk diuji dengan keimanan serta kecintaan kepada-Nya.
Rabiah meninggal dunia pada 135 Hijrah iaitu ketika usianya menjangkau 80 tahun.
Moga-moga Allah meredainya, amin! Sekarang mari kita tinjau diri
sendiri pula. Adakah kita menyedari satu hakikat yang disebut oleh Allah di
dalam Surah Ali Imran, ayat 142 yang bermaksud: Apakah kamu mengira bahawa kamu akan
masuk syurga padahal belum nyata bagi Allah orang yang berjihad di antaramu dan
belum nyata orang yang sabar. Bagaimana perasaan kita apabila insan
yang kita kasihi menyinggung perasaan kita? Adakah kita terus berkecil hati dan
meletakkan kesalahan kepada insan berkenaan? Tidak terlintaskah untuk merasakan
di dalam hati seumpama ini: Ya Allah! Ampunilah aku. Sesungguhnya
hanya Engkau yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hanya kasih-Mu yang abadi
dan hanya hidup di sisi-Mu sahaja yang berkekalan. Selamatkanlah aku daripada
tipu daya yang mengasyikkan. Sesungguhnya apa juga lintasan hati
dan luahan rasa yang tercetus daripada kita bergantung kepada cara hati kita
berhubung dengan Allah. Semakin kita kenali keluhuran cinta kepada Allah, maka
bertambah erat pergantungan hati kita kepada Allah serta melahirkan keyakinan
cinta dan kasih yang sentiasa subur. Lanjutan itu jiwa kita tidak mudah
berasa kecewa dengan gelagat sesama insan yang pelbagai ragam. Keadaan begini
sebenarnya terlebih dahulu perlu dipupuk dengan melihat serta merenungi alam
yang terbentang luas ini sebagai anugerah besar daripada Allah untuk maslahat
kehidupan manusia. Kemudian cubalah hitung betapa banyaknya nikmat Allah kepada
kita. Dengan itu kita akan sedar bahawa kita sebenarnya hanya bergantung kepada Allah. Bermula dari sini kita akan mampu membina perasaan cinta terhadap Allah yang kemudian mesti diperkukuhkan dengan mencintai titah perintah Allah. Mudah-mudahan nanti kita juga akan menjadi perindu cinta Allah yang kekal abadi.
Diterbitkan oleh : |